SIAPA KAMI?

LATAR BELAKANG

Kelas ilmu tajwid di masjid At-Taqwa Taman Tun Dr. Ismail telah bermula pada September 2014. Ketika itu seramai 70 orang pelajar telah mendaftar. Ustaz Dino Rizal Bin Suratman telah diberi tanggung jawab oleh mantan Ketua Muslimat ketika itu, Puan Hajah Syarifah Noor Binti Syed Abd Rahman Al Attas sebagai tenaga pengajar bagi mengendalikan kelas ilmu tajwid ini.

Kelas ilmu tajwid ini telah dimasukkan sebagai salah satu daripada aktiviti-aktiviti muslimat masjid At-Taqwa dan segala urusan mengenai kelas tajwid ini dipantau oleh ahli-ahli jawatan kuasa muslimat yang dilantik. Untuk tidak membebankan pihak masjid, yuran sebanyak RM20.00 sebulan telah dikenakan kepada setiap pelajar bagi menampung sumbangan kepada tenaga pengajar dan juga keperluan asas bagi memastikan kelas berjalan dengan lancar.

Untuk pengetahuan ramai, kelas pertama yang bermula pada September 2014 telah pun tamat pengajiannya pada tahun 2018. Seramai 125 orang pelajar telah menerima sijil semasa majlis graduasi yang berlansung di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) Kuala Lumpur pada 1 Mei 2018. Pada tahun berikutnya 2019, kumpulan yang kedua juga telah tamat pengajian mereka.

Pengajian ilmu tajwid ini mempunyai 4 tahap dan mengambil masa selama 4 tahun untuk selesai. Ujian akhir akan diadakan sebelum tamat sessi pengajian bagi setiap tahap. Pembukaan kelas bagi setiap tahap dan pengambilan pelajar baru bagi tahap 1 akan bermula pada bulan Zulkaedah pada setiap tahun. Kemasukan pelajar bila-bila masa juga dibenarkan. Sessi pengajian akan tamat pada bulan Syaaban dan kelas bercuti pada bulan Ramadhan dan Syawal.

Selepas tamat 4 tahun pengajian, pelajar digalakkan untuk menyambung ke kelas Musyafahah & Talaqqi. Di sini pelajar-pelajar akan bertalaqqi beramai-ramai dengan ustaz di samping mengulangkaji ke semua hukum-hukum tajwid yang telah dipelajari selama 4 tahun yang lalu. Kelas ini akan berterusan sehingga pelajar-pelajar khatam bertalaqqi 30 juzuk dengan ustaz. Kini ianya telah pun berjalan selama 2 tahun.